WALAUPUN gagal ke pentas Grand Finals Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M6, namun perjalanan luar biasa ditunjukkan Selangor Reds Giants (SRG) musim ini tetap diakui sebagai pencapaian luar biasa buat pasukan itu.
Membuat kemunculan sulung di pentas M6, SRG menamatkan saingan di tempat ketiga dunia selepas tunduk 0-3 kepada wakil Indonesia, Team Liquid ID dalam aksi final lower bracket berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil kelmarin.
Kekalahan itu meleburkan impian SRG meraih gelaran Golden Road selepas mereka mencatat kejayaan berganda dengan menjuarai Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14, Kejohanan Mid Season Cup (MSC) di Riyadh, Arab Saudi dan Kejohanan Dunia IESF 2024.
Pengasas bersama SRG, Simon Lim mengakui pihaknya amat berbangga dengan semangat juang ditunjukkan para pemain yang terus memberikan prestasi terbaik meskipun melalui jadual padat daripada MSC ke IESF dan akhirnya M6.
“Walaupun tekanan mereka hadapi amat besar, pemain-pemain ini tidak pernah mengeluh. Mereka terus berjuang dengan penuh semangat dan saya sangat bangga dengan usaha keras mereka.
“Perjalanan ke M6 bukanlah sesuatu yang mudah, namun kami berjaya mengakhiri saingan sebagai pasukan ketiga terbaik dunia,” kata Simon.
Beliau juga memberi jaminan selepas berehat seketika, SRG akan kembali lebih kuat untuk menyaingi pesaing-pesaing mereka dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
“Selepas ini, mereka akan diberi rehat yang secukupnya. Kami akan kembali dengan lebih kuat dan bersedia untuk cabaran akan datang. Ini janji saya, SRG akan bangkit,” tambahnya.
Pada aksi final tersebut, SRG menurunkan pemain termasuk Muhd. Qayyum Ariffin (Yums), Muhd. Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd. Rizwan (Stormie) bersama dua import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent).