KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan model kenderaan elektrik (EV) pertama Proton, e.MAS 7 akan dijadikan kenderaan rasmi sepanjang penganjuran ASEAN pada tahun hadapan.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran kenderaan tersebut di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Anwar berkata, ia sebagai tanda sokongan Kerajaan Madani terhadap kerjasama Proton dan Geely yang membangunkan model berkenaan.
“Hari ini saya bukan sahaja hadir meluncurkan e.MAS 7, model EV pertama Proton, tetapi memberikan sokongan padu. Contohnya untuk ASEAN pada tahun hadapan, e.MAS 7 adalah kenderaan rasmi kita,” katanya.
Beliau berkata dengan pelancaran e.MAS 7, ia mencatatkan detik sejarah penting negara sekali gus mengangkat martabat dan imej Proton.
“Saya memanjatkan kesyukuran tinggi kerana negara mencatatkan sejarah hari ini membuktikan dan menyerlahkan keupayaan negara serta tenaga profesional rakyat Malaysia,” ujarnya.
Model e.Mas 7 ditawarkan pada harga bermula RM120,000 menerusi dua varian iaitu Prime dan Premium.
Kedua-dua varian tersebut menyokong pengecasan pantas arus terus (DC) yang mengambil masa 30 minit untuk mencapai 80 peratus daripada 10 peratus.
Dilengkapi bateri 49.52 kWh, varian Prime menawarkan jarak pemanduan sehingga 345 kilometer (km), manakala Premium pula hadir bersama bateri 60.22 kWh dengan jarak pemanduan sejauh 410 km. – KOSMO! ONLINE