PETALING JAYA – Malaysia menyasarkan nilai perdagangan dua hala dengan Thailand adalah berjumlah USD 30 bilion (RM133.5 bilion) menjelang 2027.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Thailand adalah antara rakan dagangan utama bagi Malaysia.
Malah katanya, negara itu menduduki tempat keenam terbesar di dunia dan kedua terbesar di ASEAN pada 2023 dengan perdagangan dua hala bernilai RM113.16 bilion.
“Bagi tempoh antara Januari dan Oktober tahun ini, perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM95.50 bilion, mengatasi RM94.37 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu,”katanya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, lawatan sulung Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, selepas dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 akan terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.-KOSMO! ONLINE