SHAH ALAM – Khabar angin berhubung pertukaran Menteri Besar Selangor sebagai satu perbuatan menilik disifatkan sebagai syirik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau telah berdepan dengan ramalan berkenaan sejak tahun 2020 lagi.
Katanya, ia merupakan cakap-cakap politik yang gemar dibuat sebagai sebahagian pihaknya dalam mencetuskan sensasi.
“Ramai ahli-ahli nujum ini, anggap saya tidak menjadi Menteri Besar sejak 2020. Bila berlaku ‘Sheraton Move’ antara kata-kata mereka habislah kau Mir, kau akan digugurkan.
“Kemudian berlaku lagi beberapa tahun selepas itu pada tahun 2021, ada juga (menujum) kau akan digugurkan. Kemudian ada Pilihan Raya Negeri (PRN) pun ramai sebut saya akan keluar, siap kemas baju. Percaya ahli nujum ini pun syirik,” katanya selepas majlis pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani ke Negeri Kelantan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun depan untuk ditawarkan jawatan Menteri Besar Selangor sebagai petanda agar Amirudin bersiap sedia melepaskan jawatan itu.
Amirudin bagaimanapun menjelaskan, dia bersyukur apabila terus diberikan kepercayaan untuk menjadi Menteri Besar di negeri paling maju tersebut.
“Alhamdulillah, saya tawaduk dan syukur dan terus berikan amanah serta kepercayaan oleh anggota parti,” ujarnya.
Ketika mengulas mengenai kemasukan Tengku Zafrul ke PKR, Amirudin yang merupakan Naib Presiden PKR itu memaklumkan, perkara itu belum dibawa secara rasmi di biro politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti tersebut.
“Kita tunggu permohonan rasmi kalau ada tetapi ia harus dilakukan dengan kaedah perbincangan yang akrab daripada rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
“Itu penting supaya kita dapat memastikan kekuatan dapat dijamin dan kita dapat teruskan agenda mengekalkan kestabilan politik yang terbukti menjadi resepi penting kepada kejayaan pelaburan dan dasar-dasar kita,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan perbincangan mengenai masih terlalu awal dan mungkin parti perlu melihat secara holistik.
“Sebab kita pun belum dapat secara rasmi (permohonan Tengku Zafrul masuk PKR), jadi tidak boleh sebut apa-apa dan hanya desas desus cerita yang berlaku.
“Mungkin berlaku cakap-cakap di luar sana secara tidak rasmi dan itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk dibuat keputusan secara terburu,” katanya. – KOSMO! ONLINE