fbpx

Menangis! Shiha Zikir, kakak juarai Famili Duo 4

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kegigihan dan kerja keras pasangan adik-beradik Shiha dan Ieda Zikir membuahkan hasil apabila dijulang sebagai juara Famili Duo musim keempat (FD4) pada pertandingan akhir yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie, di sini, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 dan trofi kejuaraan.

Menangis terharu, Shiha, 37, meluahkan kesyukuran atas kemenangan tersebut.

“Saya tak pernah menang apa-apa pertandingan sebelum ini. Syukur alhamdulillah, terima kasih juri dan ibu saya yang sentiasa mendoakan kejayaan ini,” katanya.

Ieda pula menyifatkan kemenangan sebagai rezeki tidak dijangka.

“Saya menumpang rezeki anak-anak. Terima kasih kepada semua yang menyokong kami,” ujarnya.

Dalam pertandingan tersebut, pasangan itu mempersembahkan lagu Mentera Semerah Padi nyanyian asal Datuk M. Nasir untuk segmen pertama bertemakan bebas diikuti Doktor Cinta (Dewi) pada segmen bertemakan Berkumpulan/Duet Popular.

Persembahan serasi dan mantap duo adik-beradik  itu berjaya memukau juri dan menerima pujian melambung.

Juri tetap, Mas Idayu, menyifatkan persembahan pertama Shiha dan Ieda sebagai luar biasa, sekali gus memberikan ‘standing ovation’.

“Persembahan Shiha malam ini sangat mahal, nampak antarabangsa. Walaupun ada sedikit tekanan, hasilnya tetap memukau. Ini lain daripada lain,” katanya.

“Saya bangga dengan dua srikandi ini. Mereka bekerja keras sejak awal, progresnya sangat besar. Ieda, malam ini nyanyian awak bagus. Terima kasih, Shiha, kerana bantu kakak awak. Persembahan ini sangat menyentuh hati. Awak berdua sudah berjaya,” tambahnya.

Mas Idayu turut memuji usaha Shiha yang sanggup melabur sekitar RM60,000 untuk kesan laser dalam persembahan final.

Datuk Rosyam Nor pula memuji keaslian idea dan keberanian mereka menampilkan elemen budaya dalam persembahan.

“Kalian tidak menghampakan peminat. Persembahan pertama nampak antarabangsa, manakala persembahan kedua sangat hebat. Saya jarang memuji, tetapi malam ini persembahan anda buat bulu roma saya berdiri. Satu perkataan, wow!” komennya.

Shiha dan Ieda membuktikan kehebatan mereka sejak awal pertandingan apabila sentiasa menampilkan idea luar kotak dan unik.

Sementara itu, duo sepupu Ayie dan Salma meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi, manakala tempat ketiga dimenangi Tomok dan Shahrul Kamal yang membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi.

Terdahulu, enam pasangan dipilih untuk bertanding dalam program realiti kekeluargaan selama lapan minggu, namun tiga daripada duo terbabit tersingkir pada peringkat separuh akhir.

Berkonsepkan kalah mati bersaing hingga minggu ketujuh iaitu peringkat separuh akhir menyaksikan penyingkiran duo sepupu Didi Astillah dan Thamiera, disusuli duo adik beradik Zahid dan Anne serta duo Naqiu dan Joey (sepupu).

Program lapan episod tersebut memilih pemenang mingguan bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian menerusi Tonton membabitkan 30 peratus markah.

Persaingan FD4 yang bersiaran sejak 15 Oktober lalu menyaksikan Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor sebagai juri tetap, manakala Janna Nick bersama Sharif Zero bertindak selaku hos. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI