KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak bergelar yatim piatu selepas terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga ahli keluarga lain dalam kejadian di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya, semalam.
Dalam kejadian itu, bapa Athiyyah Nur Sofia, 5 iaitu Muhamad Izuddin Md. Yusuf, 36, maut bersama datuk dan neneknya, Md. Yusuf Mukhtar, 71 serta Rosnah Salleh, 65.
Lebih menyedihkan, kanak-kanak itu yang merupakan anak tunggal dalam keluarga juga baru sahaja kehilangan ibunya yang tercinta dua tahun lepas akibat sakit.
Bapa saudara mangsa, Mohd Nazim Md. Yusuf, 42 berkata, ketika kejadian anak buahnya itu dalam keadaan sedar manakala kedua orang tuanya sudah meninggal dunia sementara adiknya juga masih sedar.
“Dia sempat bertanya mana nenek kata nak belanja makan sedangkan ketika itu nenek dan datuknya sudah pun meninggal dunia.
“Athiyyah Nur Sofia dia memang sangat rapat dan manja dengan datuk dan nenek kerana dia tinggal di rumah datuknya sejak usia setahun lagi.
“Saya difahamkan ketika kejadian dia bersama bapanya dan mak ayah dalam perjalanan hendak keluar makan malam di Felda Tenggaroh, ” katanya ketika ditemui pemberita di Felcra Sungai Ara di sini hari ini.
Anak sulung dari enam beradik itu berkata, dia sempat memangku Muhamad Izuddin sebaik sahaja sampai di lokasi kemalangan.
Katanya, dia sempat mengajar adiknya itu mengucap kalimah syahadah sebelum pihak ambulans membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Sebelum isyak, ada orang kampung yang datang memaklumkan kepada saya tentang kemalangan itu lalu saya segera ke sana.
“Adik memang berulang alik dari Johor Bahru ke Felcra Sungai Ara setiap cuti hujung minggu Sabtu Ahad untuk meluangkan masa bersama anaknya. Dia bekerja sebagai juruteknik di kilang penghawa dingin.
“Sejak isterinya meninggal dunia, dia memang agak pendiam orangnya. Mak selalu juga menyuruhnya berkahwin baharu tetapi nanti dia akan merajuk bila ditanya soalan itu dan terus keluar ke kubur isterinya. Memang terkejut dan sedih dengan apa berlaku namun kami reda dengan pemergian mereka semua,” katanya lagi.
Tambahnya, ketiga-tiga jenazah dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara. – KOSMO! ONLINE