PUTRAJAYA – Malaysia dan Thailand komited untuk meraih nilai hubungan dagangan dua hala mencecah USD30 bilion (RM133.8 bilion) menjelang 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi usaha dan polisi kedua-dua negara dalam menyokong usaha memperkukuhkan perdagangan intra-ASEAN serta pelaburan bersama.
“Kami komited, seperti yang telah saya nyatakan berulang kali kepada pemimpin di Thailand sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Sementara itu, Paetongtarn berkata, Thailand juga komited untuk meningkatkan kerjasama ekonomi melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan dengan memberi tumpuan kepada kesalinghubungan sempadan, ekonomi digital, dan pelancongan.
“Saya juga menekankan potensi kerjasama dalam industri getah dan halal yang boleh memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara,” katanya.
Katanya, bagi kawasan sempadan pula, isu banjir menjadi keutamaan, dan pihaknya akan bekerjasama untuk memperbaiki kesalinghubungan jalan raya dan rel, sekali gus memudahkan perdagangan sempadan dan mengukuhkan interaksi rakyat kedua-dua negara.
Terdahulu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang ekonomi dan industri.
Ia membabitkan pertukaran dokumen MoU berkaitan seni dan warisan antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamed Hasan dengan Menteri Kebudayaan, Sudawan Wangsuphakijkosol. – KOSMO! ONLINE