fbpx

Lompat PN atau bersama jemaah Kerajaan Perpaduan – Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ketika ditemui pemberita selepas majlis di Dataran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

SHAH ALAM – Parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlu melihat kerangka lebih besar berhubung pengambilan mana-mana ahli parti atau pemimpin dalam gabungan itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagi mengelakkan parti-parti gabungan itu tidak terikut dengan desakan tertentu sehingga menimbulkan ketidakstabilan Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk sebelum ini.

“Yelah, kita bincang elok-elok. Mana yang lebih baik ia (ahli parti atau pemimpin gabungan) lompat ke PN ( Perikatan Nasional) atau bersama jemaah Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, ini kena dilihat secara ‘big framework’ dan tidak terikat-ikut desakan kelompok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani ke Negeri Kelantan, hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengambil ahli atau pemimpin dalam gabungan itu.

Ini kerana kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perbuatan itu akan menimbulkan suasana tidak harmoni dan akan ada pihak yang terasa.

Ketika ditanya sama ada istilah ‘mencuri’ sesuai digunakan dalam sebuah Kerajaan Perpaduan, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor memaklumkan ia bergantung kepada persepsi masing-masing.

“Mencuri, ambil dan sebagainya dengan masing-masing ada maruahnya, saya faham.

“Namun kita kena ada big framework yang kadang-kadang orang lupakan. Bila dilupakan jadi macam-macam.

“Itu yang jadi tumbang kerajaan 18 bulan (melalui) Sheraton Move sebab hilang kerangka besar didalam memikirkan kemalashatan atau kepentingan rakyat secara keseluruhan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI