PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka satu agenda besar bagi pendidikan tinggi negara iaitu sebuah pelan perancangan jangka panjang untuk tempoh 10 tahun bermula 2025 sehingga 2035.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, rangka tersebut akan dibangunkan oleh tenaga-tenaga pakar tempatan yang berpengalaman di negara ini termasuk melibatkan para pemegang taruh.
“Pelan yang ada ini akan berakhir pada hujung tahun hadapan, tapi dalam masa yang sama kita kena menyediakan satu pelan (pendidikan) baharu untuk 10 tahun akan datang.
“Hal ini sedang diperincikan oleh satu jawatankuasa yang melibatkan pelbagai pihak dan kita (akan) rangka berdasarkan kepakaran kita.
“Kita sudah tidak ambil pendekatan menggunakan konsultan luar negara untuk merangka (pelan) pendidikan negara kita sendiri, tapi kita gunakan tenaga pakar kita yang sama hebat dengan pakar di luar negara,” katanya.
Menerusi pembentangan kad laporan, Zambry berkata, KPT berjaya mencapai lima fokus utama bagi tahun 2024.- KOSMO! ONLINE