IPOH – Tindakan seorang lelaki memohon pinjaman daripada ceti haram menyebabkan keluarganya kini hidup dalam ketakutan apabila sering diganggu termasuk diugut untuk membakar rumah mereka di Lawan Kuda dekat Gopeng.
Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Chin, 42, gangguan itu bermula bulan lalu selepas anak lelakinya berusia 20 tahun memohon pinjaman sebanyak Singapore Dollar (SGD) 3,000 (RM9,924) daripada sindiket berkenaan.
Katanya, ketika pinjaman dibuat pada Oktober lalu, anak lelakinya itu masih bekerja di Singapura.
“Selepas permohonan dibuat, sindiket itu memberikan wang sebanyak SGD500 (RM1,564) sebelum meminta anak saya membayar SGD700 (RM2,315) sebagai caj permohonan.
“Tindakan sindiket tersebut menyebabkan anak saya memulangkan semula wang itu sekali gus menyekat nombor telefon mereka.
“Bagaimanapun, selepas beberapa hari, sindiket itu mula memberi ancaman untuk membakar rumah menyebabkan kami terpaksa membayar wang yang diminta termasuk faedah keseluruhan berjumlah RM31,200,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA Perak di sini hari ini.
Menurut Chin, selepas pembayaran penuh dibuat, mereka menyangkakan ugutan itu telah berakhir namun meleset apabila terus menerima ancaman daripada sindiket berkenaan.
Lebih malang lagi, katanya, jiran yang tiada kena mengena dengan keluarga mereka turut menerima nasib sama apabila rumah mereka nyaris terbakar akibat di baling bom petrol. – KOSMO! ONLINE