KUALA LUMPUR – “Hari ini paling terbaik dalam hidup saya.”
Demikian jawapan tenang aktor Farid Kamil sebaik tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini bagi prosiding pertama tuntutan permohonan perceraian dengan isteri, Diana Danielle hari ini.
“Alhamdulillah saya bersyukur hari ini adalah hari paling terbaik dalam hidup saya,” kata Farid sebelum masuk ke dewan bicara.
Farid juga tiba bersama peguam syarie mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Dalam pada itu, dia juga turut memakai songkok dengan lilitan reben putih seperti yang dipakainya pada prosiding terdahulu.
Sementara itu, Diana yang hadir lengkap dengan busana serba hitam hanya melemparkan senyuman mesra dan jawapan ringkas mengenai keadaan dirinya hari ini.
“Alhamdulillah,” ujarnya yang tiba bersama peguam syarie, Datuk Akberdin Abd. Kadir.
“Hari ini diteruskan dengan permohonan cerai jadi tunggu reaksi daripada pihak defendan (Farid).
“Kalau tak setuju, kita akan ikut proses selanjutnya iaitu Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan hakam,” katanya.
Pada 20 November lalu, peguam mewakili Akberdin memaklumkan mahkamah mengesahkan status Diana dan Farid masih suami isteri setelah kembali rujuk pada 31 Ogos tahun lalu.
Akberdin berkata, perakuan rujuk perlu diambil di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dokumen itu perlu dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk permohonan perceraian.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu secara Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora kini berusia sembilan tahun. – KOSMO! ONLINE