WASHINGTON – Harga telur di Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat, manakala pakar-pakar industri mengunjurkan peningkatan harga berterusan hingga 2025, lapor saluran berita Fox News semalam.
Keadaan itu diramal berlaku sekiranya Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) yang juga dikenali sebagai jangkitan selesema burung berterusan.
Pengurus Sektor Institut Pertanian Wells Fargo, Kevin Bergquist berkata, harga telur meningkat sejak 2023 berikutan kenaikan harga bermusim semasa cuti dan gangguan bekalan akibat selesema burung.
“Harga telur sepanjang tahun ini secara amnya kekal lebih mahal berbanding 2023, malah kebiasaannya melebihi harga telur pada 2022 ketika HPAI benar-benar menjejaskan pasaran,” kata Bergquist.
Menurut Indeks Harga Pengguna, harga runcit meningkat 0.5 peratus pada bulan November melibatkan empat daripada enam kumpulan makanan runcit utama.
Harga daging, produk ternakan, ikan dan telur naik 1.7 peratus pada November lalu tetapi harga telur naik 8.2 peratus, peningkatan terbesar dengan margin yang luas.
Tambah Bergquist, wabak selesema burung mengganggu pasaran, membawa kepada peningkatan tertinggi harga telur pada Disember 2022. – AGENSI