fbpx

F1: Leclerc laung amaran lebih agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LECLERC tidak menyesal gagal membantu Ferrari menjuarai kategori pengeluar kerana telah memberikan segala-galanya musim ini. - AFP

ABU DHABI – Pemandu Ferrari, Charles Leclerc sudah tidak sabar memulakan musim baharu Formula Satu (F1) 2025 selepas menutup tirai tahun ini dengan prestasi luar biasa apabila bangkit daripada petak ke-19 untuk meraih tempat ketiga Grand Prix (GP) Abu Dhabi.

Kejayaan podium berganda Ferrari di Litar Yas Marina antara Leclerc dan Carlos Sainz masih belum cukup menafikan penantian 26 tahun pencabar mereka, McLaren untuk merangkul gelaran kategori pengeluar.

“Sudah pasti saya sangat dahagakan kemenangan untuk musim depan. Kekecewaan daripada perlumbaan terakhir masih terasa tetapi kami telah mencuba sedaya upaya.

“McLaren lebih konsisten sepanjang musim, jadi mereka layak bergelar juara. Tahniah kepada mereka dan juga pelumba Red Bull, Max (Verstappen) yang menjuarai gelaran dunia kategori pemandu,” katanya.

Leclerc juga melihat separuh kedua musim ini sebagai satu langkah positif buat Ferrari, namun menegaskan bahawa kedudukan kedua atau ketiga bukanlah sasaran sebenar pasukan itu.

“Kami mahu menang. Tetapi separuh kedua musim menunjukkan pasukan ini berada di arah yang betul. Saya tidak sabar untuk kembali ke litar dan mencabar kejuaraan pada 2025,” tambahnya.

Musim 2025 dijangka menjadi lebih mencabar dengan persaingan sengit daripada McLaren, Red Bull dan Mercedes tetapi Leclerc yakin Ferrari mampu membawa cabaran baharu untuk kembali ke puncak sukan Formula Satu,

Tahun depan, Leclerc akan bekerja rapat dengan bekas pemandu pasukan Mercedes, Lewis Hamilton. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI