KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) bersama Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely Holding) hari ini menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) ke arah mentransformasikan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjong Malim, Perak, menjadi hab automotif global untuk Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) dan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
MoU pertama, yang ditandatangani dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bertujuan untuk meneroka potensi bidang kerjasama, selain berkolaborasi untuk menggalakkan pelaburan khususnya dalam pembangunan AHTV, dengan objektif memupuk pertumbuhan, keupayaan dan daya saing industri automotif Malaysia.
Bidang utama kerjasama termasuk menggalakkan transformasi industri automotif tempatan dan Industri 4.0 untuk membantu Malaysia menjadi negara peneraju bagi EEV dalam ASEAN.
Ia juga bertujuan mengubah AHTV menjadi hab automotif global yang memberi tumpuan kepada pengeluaran NxGVs, pembuatan pintar untuk komponen automotif berteknologi tinggi, serta pangkalan eksport untuk rantaian bekalan kenderaan global dan alat ganti yang lengkap.
Sementara itu, MoU kedua, yang ditandatangani dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan menyaksikan kesemua pihak meneroka bidang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat untuk AHTV.
Pemeteraian dokumen berkenaan turut diraikan semasa pelancaran rasmi Proton e.MAS 7, iaitu kenderaan elektrik pertama Malaysia, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dibangunkan oleh AHTV Alliance Sdn. Bhd., syarikat usaha sama antara DRB-HICOM dan Geely Holding, AHTV akan merangkumi penyelesaian automotif dan mobiliti secara meluas merentas keseluruhan rantaian nilai. – KOSMO! ONLINE