KUALA LUMPUR – Seramai 5,891 murid terlibat dalam kejadian buli pada 2023, manakala 5,703 orang direkodkan setakat 31 Oktober lalu berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan empat pendekatan utama untuk menangani gejala buli iaitu penyedaran, pelaporan, pemantauan, dan penghukuman.
Oleh itu katanya, KPM melaksanakan satu program baru-baru ini melibatkan 2,542 murid tingkatan empat, tingkatan enam, Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia dan pelajar kolej matrikulasi menyertai program rintis bagi mengekang buli dalam kalangan pelajar.
Dikenali Program Pembinaan Karakter Generasi Madani (GenMADANI), ia merupakan antara usaha yang dilaksanakan KPM secara konsisten di samping aktiviti pencegahan, penguatkuasaan peraturan dan langkah intervensi oleh pengetua dan guru besar (PGB).
“Sebahagian besar modul yang diguna pakai dalam pelaksanaan program ini merangkumi domain patriotisme dan kenegaraan dengan penerapan unsur disiplin diri, pengurusan masa, kecergasan fizikal, kognitif serta amalan kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
“Melalui projek rintis ini, pada tahun hadapan KPM akan memperluaskan pelaksanaan program selari dengan Konsep Generasi Madani bagi menambah baik modul sedia ada,” katanya di Dewan Negara hari ini. – KOSMO! ONLINE.