BANGKOK – Penduduk di Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima bingung dengan tindakan seorang pencuri yang meletakkan motosikal milik mangsa di hadapan balai polis selepas mencurinya, lapor laman berita Thaiger.
Menurut salah seorang mangsa yang enggan dikenali, kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di luar pasar mininya merakam tindakan seorang lelaki yang dipercayai melarikan motosikalnya pada 11 Disember lalu.
Bagaimanapun, wajah lelaki tersebut tidak dapat dirakam dengan jelas ketika dia mencuri motosikal itu.
Anaknya kemudian menemui motosikal tersebut diletakkan di hadapan Balai Polis Ban Han pada waktu malam. Ia terletak tidak jauh dari rumah mereka.
Ketika disoal kepada polis mengenai perkara itu, seorang pegawai memberitahu bahawa pihaknya tidak menyedari tindakan pencuri tersebut.
Ketiadaan CCTV di luar balai polis tersebut turut menyukarkan usaha mengesan suspek.
Selain pemilik kedai tersebut, seorang jirannya turut menjadi mangsa pencuri yang sama, di mana motosikal yang dicuri ditinggalkan di luar balai polis.
Meskipun tiada barang berharga hilang dalam kejadian itu, mangsa menggesa polis memandang serius perkara tersebut. – AGENSI