fbpx

Cubaan seludup tembakau kunyah bernilai RM2.8 Juta digagalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kastam menggagalkan cubaan menyeludup produk tembakau secara haram selepas menahan tiga buah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 29 November lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah Unit I melakukan pemeriksaan terhadap kontena tersebut di Kompleks Kastam Unit I.

“Hasil pemeriksaan menemukan 7,303 kilogram tembakau kunyah dan serbuk tembakau bernilai RM325,000. Jumlah cukai dan duti dianggarkan RM2.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurut beliau, pasukan operasi turut menemukan sebanyak 7,580 kilogram beras basmathi dan bijirin bernilai RM351,700 melibatkan cukai RM16,680.

Barangan tersebut dijumpai bersama tembakau dalam kontena sama.

“Sindiket dipercayai mengisytihar dagangan sebagai minuman dan makanan bagi mengelakkan syarat keperluan permit import,” katanya.

Tiga wakil ejen penghantaran dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata, pihaknya merampas bungkusan berisi dadah jenis ekstasi bernilai RM71,810 di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 29 Julai lalu.

Rampasan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada pegawai di pusat mel berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati bungkysan itu mengandungi pil berwarna jingga yang dikirim dari sebuah negara di Eropah kepada penerima di Petaling Jaya. Semakan mendapati, alamat itu palsu,” katanya.

Orang ramai diseru membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan seperti dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan, dan lain-lain.

Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti penyeludupan yang melanggar undang-undang.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI