PETALING JAYA – Hampir setahun menduda, pelakon Hisyam Hamid belum terfikir untuk mencari calon isteri sebagai pendamping hidupnya.
Pernah rasa sunyi, Hisyam, 39, bagaimanapun mengakui lebih selesa menjalani kehidupan bersama dua orang anaknya.
“Saya tak mencari (pasangan), kalau ada atau tidak pun saya okey sahaja, alhamdulillah.
“Tak boleh nak cakap sebab ini soal hati dan perasaan, saya sudah selesa hidup begini.
“Kadang-kadang sunyi dan sedih tetapi secara keseluruhan saya belum terfikir ke arah itu (kahwin semula),” katanya kepada Kosmo! Online.
Berkongsi lanjut, pelakon drama rantaian Andai Tiada Dia itu mendedahkan ramai wanita cuba mendekati tetapi dia memilih untuk fokus kepada diri sendiri.
“Ada ramai mendekati. Kalau buka (mesej langsung) DM hari-hari orang ajak jumpa atau keluar minum kopi.
“Namun, buat masa ini saya tak layan dan enggan balas langsung sebab tak tahu orang macam mana.
“Saya memang tidak mahu terburu-buru dan memang nak fokus diri sendiri sahaja sekarang,” ujarnya.
Dalam masa sama, anak jati Singapura itu bersyukur apabila anak-anaknya tidak pernah memaksa untuk berbalik dengan bekas isteri selain prihatin terhadap keadaan bapa mereka.
“Ada sembang dengan anak-anak. Mereka pun tanya tentang kehidupan saya.
“Terutama sekali anak lelaki saya walaupun berumur 15 tahun tetapi dia sangat matang dari segi pemikiran.
“Bersyukur ada anak-anak yang memahami. Mereka pun tak paksa saya kembali bersama bekas isteri,” jelasnya.
Sebelum ini, pelakon itu menjadi perhatian selepas mengesahkan sudah bercerai dengan isteri, Rosmawati Hanafi atau lebih dikenali sebagai Mel.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15. – KOSMO! ONLINE