fbpx

B40 bayar haji RM15,000, M40 bayar RM23,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Hamadah menunjukkan kos haji dan bayaran bantuan haji selepas sidang akhbar Majlis Pengumuman Kos Haji, Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji 1446H/2025M di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan bayaran haji bagi musim 1446H/2025M naik 20 peratus bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang tahun 2024.

“Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu tahun depan pula ditetapkan RM23,500 berbanding RM19,152 seorang tahun ini,” katanya pada sidang akhbar khas hari ini.

Tambahnya, kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan T20 yang kali pertama kekal RM33,300 pada 2025 iaitu bersamaan kos haji bagi seorang haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.

Menurut Syed Hamadah, pihaknya telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M di mana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.

Katanya, bagi tujuan mengekang kenaikan kos, TH mengambil pelbagai langkah perlu termasuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan.

“Bagi mengawal kos, TH berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak meningkat,” katanya.

Katanya, kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dengan ia adalah di luar kawalan TH. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI