KUALA LUMPUR – Akademi Rel Pahang, yang dibangunkan melalui kerjasama antara UCYP University, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), dan Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan untuk melatih 2,000 pelajar dalam bidang operasi dan penyelenggaraan rel.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pengambilan pertama akademi ini akan melibatkan sekitar 200 hingga 300 anak muda berumur antara 18 hingga 42 tahun yang berkelayakan.
“Fokus utama akademi ini adalah untuk melatih anak muda tempatan bagi bekerja di stesen ECRL yang terletak di seluruh negeri Pahang, termasuk di daerah-daerah seperti Maran dan Kuantan.
“Usaha ini diharapkan dapat merangsang ekonomi tempatan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi masyarakat setempat,” jelasnya ketika ditemui di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara UCYP University dan MRL hari ini.
Bukan itu sahaja, salah satu elemen penting dalam inisiatif ini adalah peluang pekerjaan yang dijamin bagi para graduan yang berjaya menyelesaikan latihan untuk bekerja dengan Malaysia Rail Link (MRL), pengendali projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Dengan memberi peluang kepada anak muda dari kawasan setempat, kami bukan sahaja membantu mereka membina kerjaya, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan ekonomi tempatan, di mana mereka dapat terus tinggal dan bekerja di kawasan asal mereka tanpa beban kos perumahan dan pemindahan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta dalam Belanjawan Negeri Pahang 2025 bagi menyokong pembangunan akademi ini sebagai projek strategik negeri.
“Akademi Rel Pahang yang pertama seumpamanya di Malaysia, diharapkan dapat memberi impak besar dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk sektor rel, serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri Pahang,” tambahnya.
Program ini juga mencerminkan komitmen UCYP, MRL, dan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan keperluan industri rel di masa hadapan dapat dipenuhi dengan tenaga kerja yang berkualiti dan terlatih. – KOSMO! ONLINE