KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 individu telah menyertai program Zakat & Wakaf Run 2024 yang diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Al Rajhi Banking Investment Corporation (Malaysia) Bhd (Al Rajhi Bank Malaysia) yang diadakan di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.
Ia merupakan kesinambungan kerjasama sedia ada di antara PPZ-MAIWP dan Al Rajhi Bank Malaysia dalam usaha menjadikan zakat serta wakaf sebagai budaya masyarakat selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Menerusi satu kenyataan PPZ-MAIWP berkata, pelepasan acara tiga larian dilakukan serentak oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank Malaysia, Syahrul Ishak.
“Acara ini turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti motosikal, televisyen, basikal, telefon bimbit, multicooker dan hamper.
“Juga disediakan, kaunter bergerak zakat dan wakaf serta kaunter perkhidmatan Al Rajhi Bank Malaysia,” kata kenyataan itu.
Dalam acara yang sama katanya, turut diadakan simbolik pelepasan pasca banjir serta serahan sumbangan wakalah Al Rajhi Bank Malaysia bernilai RM100,000.
“Ia disampaikan oleh Syahrul kepada Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin.
“Al Rajhi Bank Malaysia turut menyerahkan sumbangan wakalah bernilai RM200,000 yang antaranya terdiri daripada sumbangan Bakul Rezeki kepada 100 asnaf, bantuan kewangan kepada 100 mualaf dan 91 ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Malaysia (Pertis),” tambah kenyataan sama.
Dalam pada itu sempena hujung tahun ini, PPZ-MAIWP juga mengajak orang ramai agar segera menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember ini bagi mendapatkan 100 peratus rebat cukai pendapatan selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik sempena Kempen Year End Zakat. – KOSMO! ONLINE