SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan perlu memberi tumpuan penuh kepada persiapan ke Piala Dunia Remaja 2025 di India selepas meraih tempat keempat Piala Remaja Asia 2024 baru-baru ini.
Ketua jurulatih Young Tigers, I. Vikneswaran menegaskan, skuad muda negara perlu memanfaatkan masa yang ada untuk meningkatkan kemahiran dari aspek teknikal dan mental dalam permainan mereka.
“Kita perlu bersedia lebih awal. Saya percaya asas permainan seperti menolak, memukul, hantaran, tackling serta kemampuan membaca permainan dengan pantas perlu diperkukuhkan untuk memastikan kita kompetitif,” katanya.
Dalam masa sama, Vikneswaran turut menekankan kelemahan dalam situasi pukulan sudut penalti sebagai faktor utama kekalahan dalam beberapa perlawanan penting di peringkat Asia.
“Jika mampu kurangkan bolos daripada pukulan sudut penalti hingga 50 peratus, banyak perlawanan 50-50 boleh dimenangi. Serangan daripada situasi ini juga perlu lebih efektif untuk menjaringkan gol,” jelasnya.
Selain itu, Vikneswaran turut melihat aspek penyudah di hadapan gawang sebagai elemen kritikal yang perlu diberi perhatian selepas skuad kendaliannya gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan di depan gawang.
“Pemain perlu lebih tenang di depan gawang. Jangan hanya memukul bola sekuat hati, tetapi buat keputusan bijak untuk mencipta peluang dan jaringan yang mudah,” tegasnya.
Young Tigers dijangka memulakan kem latihan awal tahun depan dengan tumpuan penuh untuk membina pasukan lebih mantap, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran besar di Piala Dunia Remaja 2025 pada Disember tahun depan.