AWAL minggu ini, dunia hiburan dikejutkan dengan berita serbuan ke kediaman pelakon sensasi Rozita Che Wan oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menyerahkan writ dan penilaian barangan.
Serbuan dilakukan gara-gara kegagalan Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta melunaskan hutang pinjaman agensi tersebut berjumlah hampir RM1 juta sejak tujuh tahun lalu.
Difahamkan, pinjaman Mara berjumlah RM960,000 dibuat syarikat miliknya iaitu RCW Worldwide Sdn. Bhd. dan anak sulungnya, Ammar Effendy sebagai penjamin.
Ketika serbuan dibuat, Che Ta tidak kelihatan melainkan ibunya sahaja iaitu Zabedah Saad yang berada di kediaman di Kota Damansara terbabit.
Selepas satu jam pihak Mara memasuki rumah, Ammar, 28, kemudian muncul dengan berpakaian formal dan berwajah sugul.
Hasil serbuan dan penilaian, jumlah nilaian barangan yang disita di rumah selebriti berusia 51 tahun itu tidak sampai RM100,000.
Menurut wakil peguam Mara yang enggan dikenali, pihaknya akan terus melakukan pengambilan barangan pada petang hari kejadian dan akan melakukan lelongan barangan sita dalam masa terdekat.
Tiada penjelasan
Meskipun kekecohan berlaku melibatkan namanya, Che Ta memilih tidak mengulas lanjut kontroversi yang mencetuskan pertanyaan ramai tersebut, sebaliknya ligat berniaga dalam media sosial.
Bukan sahaja Che Ta, suaminya juga pelakon iaitu Zain Saidin juga dilihat aktif menjalankan perniagaan secara langsung dalam TikTok.
Malah, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu juga tetap menjalankan sesi fotografi sempena menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-11 pada 11 Disember lalu.
Sehingga kini pihak pengurusannya juga masih belum memberi kenyataan selain memohon diberi ruang sebelum menjelaskan isu berkenaan.
Bankrap
Dilihat tidak melayani sebarang komen negatif, usahawan terbabit menggunakan media sosialnya dengan memuat naik beberapa siri hantaran berasakan adanya unsur fitnah dan menyifatkan kekecohan yang berlaku sebagai satu perlakuan mengaibkan dirinya.
Ketika ini, bahagian undang-undang Mara juga dalam proses pemfailan kebankrapan terhadapnya dan Ammar Effendy selaku penjamin atas kegagalan melunaskan pinjaman.
Proses sama pernah dilakukan pada Julai tahun lalu tetapi menghadapi masalah teknikal terhadap notis kebankrapan terhadap anak-beranak itu dan terpaksa ditarik balik bulan lalu sehinggalah berlaku serbuan ke rumah Che Ta, Selasa lalu.
Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan sekiranya Che Ta membayar penuh pinjaman tersebut.
Ini berikutan pihak Mara tidak lagi memberi pelanjutan tempoh selepas mahkamah membuat keputusan muktamad terhadap kes berkenaan.
“Tiada siapa boleh menghalang tindakan Mara kerana ini perintah mahkamah dan sebenarnya kita tak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam culas,” katanya.
Tambahnya, Che Ta tidak memberi kerjasama malah kes berlarutan susulan selebriti itu membuat pertukaran peguam.
Ramai yang tertunggu-tunggu penjelasan daripada anak jati Alor Setar, Kedah itu berhubung kedegilannya apatah lagi didakwa tiada langsung bayaran dikemukakan sejak 2017.
Apakah keistimewaan Rozita Che Wan berbanding peminjam lain sehingga dia berasakan tidak perlu melunaskan hutang yang sudah bertahun-tahun digunakan.
Semoga isu ini dapat membuka mata masyarakat tentang kepentingan membayar hutang terutama sekali artis yang seharusnya memberikan contoh baik kepada khalayak.