KUALA LUMPUR – Penangan Biduanita Negara, Stadium Merdeka malam tadi dibanjiri kehadiran seramai 24,000 penonton pada Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, teruja melihat kehadiran para penonton selain sempat memberi bayangan bakal mengadakan konsert solo pada tahun depan.
“Konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil sebelum ini boleh memuatkan seramai 12,000 penonton tetapi hari ini, dihadiri 24,000 penonton. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua.
“Kalau saya adakan konsert lagi tahun depan ada yang akan hadir lagi?” katanya.
Sementara itu, Judika pula gembira menjadi antara penyanyi dari Indonesia yang bertuah dapat beraksi di stadium bersejarah tersebut.
“Ini impian saya untuk beraksi di Stadium Merdeka dan syukur sudah menjadi kenyataan.
“Dapat satu pentas bersama Siti sekali lagi juga satu momen yang hebat,” ujarnya.
Pada konsert tersebut, Siti dan Judika mempersembahkan lebih 30 lagu secara solo dan duet termasuk lagu-lagu medley.
Antara lagi yang dipersembahkan adalah Kesilapanku Keegoanmu, Hati Kama, Seindah Biasa, Hati Yang Tersakiti, Bukan Rayuan Gombal, Hal Hebat, Nirmala dan banyak lagi.
Selain persembahan memukau, Siti dan Judika turut membuat kejutan dengan menaiki kereta sport mengelilingi stadium sebelum memulakan konsert anjuran Universe Gateway itu.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Faizal Tahir yang menyampaikan tiga lagu popularnya. – KOSMO! ONLINE