KUALA TERENGGANU – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini dengan niat untuk memperkuatkan lagi gabungan tersebut.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, tindakannya bagi memperkukuhkan lagi PN agar menjadi gabungan politik yang lebih kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi.
“Tulisan penganalisis politik di pelbagai ruangan sosial media, media cetak (berkaitan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN) beri perspektif masing-masing.
“Saya rangkumkan semua (tindakannya) adalah usaha untuk memperkuat dan memperkukuh PN supaya menjadi kuasa baharu menghadap pilihan raya (PRU16) yang lebih kuat dan mampu menjadi alternatif yang jauh lebih baik daripada kerajaan sedia ada,” katanya di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
Terdahulu beliau meletakkan jawatan pada Rabu lalu selepas dua hari dilantik sebagai Bendahari Agung PN yang dikatakan sebagai protes Pas terhadap monopoli kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Majlis Tertinggi PN.
Ahmad Samsuri begitupun masih belum bersedia untuk mendedahkan peletakan jawatannya dalam PN tersebut keputusannya sendiri atau arahan dan strategi parti Pas.
Beliau memberitahu kepimpinan Pas sedang berusaha mencari jalan penyelesaian isu tersebut.
“Saya tak nak beri komen lagi (alasan meletakkan jawatan). Peringkat ini kepimpinan (Pas) sedang menguruskan perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE