CAMERON HIGHLANDS – Seorang remaja perempuan Orang Asli mengalami detik hitam dalam hidupnya apabila dirogol beberapa kali di dalam kereta oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui media sosial di ‘Aps Dating’.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata dalam kejadian kelmarin, remaja berumur 15 tahun itu dirogol selepas dibawa menaiki kereta jenis Proton Wira untuk berjalan-jalan di Pos Mension di sini.
“Berdasarkan siasatan awal mangsa telah dibawa ke Kedah oleh suspek dan dikatakan dirogol sebanyak empat kali di pelbagai tempat dalam kenderaan dinaiki.
“Suspek kemudiannya dikatakan meninggalkan mangsa di sebuah lorong sebelum mangsa diselamatkan oleh orang awam dan mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lipis,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya susulan itu pihak polis telah menahan dua suspek berusia 29 dan 33 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori di sekitar Cameron Highlands pada pukul 3.20 pagi semalam untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal terhadap suspek pertama, dia telah mengaku merogol mangsa sebanyak empat kali di dalam kenderaan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE