PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjangkakan pemberian dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) tahun 2024 kepada pendeposit akan meningkat lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, jangkaan tersebut berdasarkan prestasi semasa hasil pelaburan deposit Simpan SSPN yang bertambah berikutan pengurusan pelaburan strategik serta komitmen PTPTN dalam memastikan pulangan yang kompetitif kepada pendeposit.
“Jika dilihat pada pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2023 adalah sebanyak 3.60 peratus, meningkat berbanding 3.05 peratus pada tahun 2022.
“Bagi tahun 2024, saya optimis bahawa pemberian kadar dividen Simpan SSPN dijangka terus naik berbanding tahun 2023 berdasarkan kepada peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN yang membanggakan setiap tahun,” kata PTPTN dalam satu kenyataan.
Kata Norliza, tahun ini PTPTN merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM341.54 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2024, sekali gus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan yang lebih baik berbanding RM287.64 juta untuk tempoh yang sama tahun 2023.
Jelasnya, peningkatan Kadar Dasar Semalaman kepada tiga peratus pada 3 Mei 2023 sehingga kini telah menggalakkan nilai pertumbuhan pelaburan dan membantu PTPTN memperolehi pulangan pelaburan yang lebih konsisten.
“Peningkatan keuntungan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.
“Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan. Di samping itu, penglibatan pelaburan dalam pasaran sukuk juga membantu dalam peningkatan pulangan pelaburan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.