BERLIN – Seorang pemandu treler berjaya keluar dari kenderaan itu beberapa saat sebelum ia dirempuh oleh sebuah kereta api barang, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku di daerah Borde, kira-kira 10 kilometer ke barat Berlin, Jerman.
Polis mengesahkan bahawa treler itu terkandas di landasan kereta api akibat masalah teknikal tetapi pemandunya bernasib baik kerana dapat keluar dari kenderaan tersebut tepat pada masanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, seorang konduktor kereta api mengalami kecederaan ringan, lapor badan penyiaran MDR.
Rakaman video menunjukkan kereta api yang membawa sejumlah kereta tersebut gagal dihentikan sebelum ia merempuh treler berwarna merah itu.
Kenderaan itu kemudian diseret oleh kereta api sehingga menyebabkan ia terbalik.
Rempuhan itu juga menyebabkan barang-barang pembinaan yang dibawa oleh treler itu terjatuh dan berselerak di tepi landasan. – AGENSI