BACHOK – Ibu kepada kanak-kanak yang lemas semasa mandi di Pantai Kandis di sini petang semalam tergamam melihat anak lelakinya itu terkapai-kapai sebelum tenggelam ditarik ombak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Siti Nur Shahidah Muhammad, 33, sempat menghulurkan kayu, namun anaknya, Muhd. Naufal Arshad Muhd. Aiman Hafiz, 8, tidak sempat mencapainya apabila arus ombak ketika itu sangat deras.
Siti Nur Shahidah berkata, dia, Muhd. Naufal bersama tiga lagi anak berusia empat hingga 10 tahun dan dua anak jirannya pergi ke pantai itu untuk bersiar-siar di pantai itu kira-kira pukul 6.20 petang.
“Kami semua mandi berhampiran kawasan benteng batu. Tiba-tiba, saya melihat Muhd. Naufal terjatuh dari benteng batu itu sebelum ditarik ombak.
“Saya sempat mengambil sebatang kayu dan menghulurkan kepada Muhd. Naufal, namun dia tidak sempat mencapainya. Saya lihat dengan mata saya dia terkapai-kapai sebelum tenggelam dibawa ombak,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Kandis di sini semalam.
Siti Nur Shahidah memberitahu, dia terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan anaknya itu dan tidak menyangka keterujaan Muhd. Naufal untuk ke pantai pada petang semalam merupakan petanda dia untuk pergi selamanya.
“Sebelum ke pantai, saya mengarahkan Muhd. Naufal dan adik-beradiknya untuk menunaikan solat Asar. Saya lihat dia beria-ria untuk ke pantai selepas diajak oleh dua anak jiran,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE