fbpx

Lima negara jumlah bayi makin sedikit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kadar kesuburan yang rendah adalah didorong oleh kadar kelahiran yang rendah. – Gambar hiasan

KESUBURAN atau kadar kelahiran merupakan satu aspek yang penting bagi membolehkan sesebuah negara untuk menambah populasi penduduknya.

Namun begitu, kini kadar kesuburan dunia juga menunjukkan kemerosotan dan menyaksikan ada negara yang populasinya semakin mengecil.

Menurut data dari Bank Dunia, kadar kesuburan global ialah 2.3 kanak-kanak bagi setiap wanita pada tahun 2022. Kadar ini adalah separuh daripada kadar pada tahun 1950 dan negara-negara maju cenderung mempunyai kadar kesuburan yang lebih rendah berbanding negara kurang maju atau berpendapatan rendah.

Di sini Panorama menyenaraikan lima negara yang mempunyai kadar kesuburan paling rendah pada tahun 2024.

1. Taiwan (1.09)

Taiwan merupakan negara yang mempunyai kadar kesuburan paling rendah iaitu pada kadar 1.09 kanak-kanak bagi setiap wanita.
Penduduk Taiwan menyatakan bahawa kos kanak-kanak yang tinggi, harga rumah, malah gaji rendah dan waktu kerja yang panjang menjadi alasan untuk mereka tidak mempunyai anak.

Bahkan, Majlis Pembangunan Negara (NCD) juga mengenal pasti trend sosial seperti berkahwin lambat, tidak berkahwin, tidak mahu memiliki anak dan ingin mempunyai anak di kemudian hari menyebabkan kadar kelahiran di Taiwan menjunam.

Malah, laporan daripada majalah tempatan negara itu juga menyatakan bahawa pada tahun 2022, 55 peratus lelaki Taiwan dan 41 peratus wanita negara itu berumur antara 30 hingga 39 tahun belum berkahwin.

2. Korea Selatan (1.11)
Korea Selatan merupakan negara kedua yang mempunyai kadar kesuburan paling rendah iaitu pada kadar 1.11 kanak-kanak bagi setiap wanita.

Kadar kesuburan di Korea Selatan terus merosot apabila jatuh ke paras terendah dengan hanya sekitar 203,000 kelahiran direkodkan pada tahun 2023.

Bilangan perkahwinan di negara itu yang menyusut turut memberi kesan kepada kadar kelahiran.

Selain itu, gabungan faktor institusi, struktur dan budaya juga menyumbang kepada kesuburan yang sangat rendah di Korea Selatan.

Hal ini merangkumi ketidaksamaan dan ketidakpastian pasaran buruh, budaya kerja yang tidak mesra keluarga serta kos yang tinggi membesarkan anak menjadi antara faktor penyumbang.

3. Singapura (1.17)
Singapura merupakan negara ketiga yang mempunyai kadar kesuburan paling rendah iaitu pada kadar 1.17 kanak-kanak bagi setiap wanita.

Malah, kadar kesuburan di Singapura juga menurun sejak tiga dekad yang lalu dan pernah jatuh ke paras terendah iaitu 0.97 pada tahun lalu.

Sebab utama penurunan kadar kesuburan ini adalah kadar wanita yang telah meningkat umur memilih untuk kekal bujang.

Selain itu, kebimbangan mengenai kos kewangan untuk membesarkan anak, tekanan untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang atau kesukaran mengurus komitmen kerja dan keluarga juga menjadi penyumbang kepada masalah ini.

4. Ukraine (1.22)
Ukraine merupakan negara keempat yang mempunyai kadar kesuburan paling rendah iaitu pada kadar 1.22 kanak-kanak bagi setiap wanita.

Kadar kelahiran di Ukraine menjunam ke paras terendah apabila populasi penduduk di negara itu berkurangan.

Malah, penduduk Ukraine merosot kepada 29 juta pada tahun lalu dengan hanya 187,000 kelahiran direkodkan.

Kemerosotan itu berlaku kerana masalah kegawatan ekonomi dan peperangan yang berlaku antara Ukraine dan Russia.

5. Hong Kong (1.23)
Hong Kong merupakan negara kelima yang mempunyai kadar kesuburan paling rendah iaitu pada kadar 1.23 kanak-kanak bagi setiap wanita.

Berdasarkan satu tinjauan hampir separuh daripada golongan dewasa muda di Hong Kong merancang memiliki anak.

Tinjauan oleh Persatuan Perancang Keluarga Hong Kong menunjukkan hanya 51.1 peratus wanita muda dan 44.8 peratus lelaki muda mahukan anak.
Orang muda mahu lebih banyak kebebasan dan kawalan atas kehidupan mereka dan bimbang mengenai kesulitan kewangan yang akan dialami untuk membesarkan keluarga.

Alasan utama yang turut diberikan adalah mereka mempunyai ketakutan terhadap tanggungjawab membesarkan anak dan keadaan masyarakat yang tidak sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI