GUA MUSANG – Lencongan sementara akan dibina segera di Kilometer (KM) 78.6, Jalan Gua Musang-Lojing selepas laluan itu ditutup sepenuhnya sejak semalam akibat kejadian lubang benam sedalam sembilan meter.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembinaan itu dilaksanakan oleh syarikat konsesi jalan, Roadcare (M) Sdn. Bhd.
Menurutnya, pihak kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan semua tindakan segera bagi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Buat masa ini, pengguna jalan raya dari Gua Musang yang ingin ke Ipoh boleh menggunakan laluan alternatif melalui Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh.
“Bagi pengguna jalan raya dari Gua Musang ke Cameron Highlands, mereka boleh melalui jalan di Sungai Koyan-Ringlet-Cameron Highlands,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, laluan di KM 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini ditutup kepada semua kenderaan bermula semalam selepas lubang benam (sinkhole) baharu sedalam sembilan meter dikesan di jalan itu pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pengguna jalan raya dari Tanah Tinggi Lojing ke Gua Musang atau Gua Musang ke Cameron Highlands, Pahang dan ke Ipoh, Perak perlu menggunakan laluan lain. – KOSMO! ONLINE