PETALING JAYA – Lebih dua pertiga perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan persetujuan sewaktu pengundian, sekali gus meluluskan usul pindaan perlembagaan parti tersebut, hari ini.
Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir ke Kongres Nasional Khas Keadilan di Shah Alam pagi ini bagi memutuskan pindaan perlembagaan parti bagi memantapkan proses dan memaknai demokrasi dalam pemilihan parti.
“Di permulaan ucapan penangguhan, saya zahirkan penghargaan buat pejuang parti yang telah meninggal dunia, terutama Almarhum Syed Husin Ali yang menggagas idea dan prinsip perjuangan Keadilan, terutama dalam membela nasib rakyat miskin.
“Saya tegaskan bahawa Keadilan selaku parti yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi harus segera mengadakan pemilihan parti bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan berjalan,” katanya.
Tambah Anwar yang juga Perdana Menteri itu, barisan kepimpinan parti harus melibatkan gandingan baharu dan lama. Namun pimpinan muda usah gelojoh apabila diberi mandat kerana pengalaman getir pimpinan lalu yang dihina, ditekan dan dianggap sebagai musuh negara suatu ketika lalu yang mengizinkan Keadilan kukuh bertapak pada saat ini.
“Saya turut singgung tindakan segelintir pimpinan dan Ahli Parlimen Keadilan yang terperangkap dalam sentimen dimainkan pembangkang hingga tergamak menyatakan belas kasihan pada pihak yang telah mencuri berbilion ringgit wang rakyat.
“Pimpinan dan Ahli Parlimen Keadilan seharusnya bingkas menjawab dan melawan dakwaan pembangkang dengan fakta, umpamanya kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dalam kes Batu Puteh,” katanya lagi.
Jelasnya, pimpinan juga perlu segera memberi penjelasan kepada rakyat terhadap sentimen dangkal kononnya Melayu dan Islam terancam ketika ini, sedangkan hakikatnya hanya mereka yang mencuri berbilion ringgit wang rakyat terancam di bawah pimpinan Kerajaan Madani.
“Setiap anggota dan pimpinan Keadilan harus terus membela nasib rakyat dan bekerja dengan baik. Jawatan yang disandang ini bukan penyelesaian, tapi ruang untuk melaksanakan cita-cita dan perjuangan kita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.