POKOK SENA – Kos mengerjakan haji bagi tahun depan akan diumum esok sekali gus menamatkan persoalan sama ada berlaku peningkatan seperti digembar-gemburkan sebelum ini atau dikekalkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar yang mengesahkan perkara tersebut memberitahu, Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuat pengumuman tersebut dalam satu majlis di Menara TH, pagi esok.
Beliau memberitahu, selain itu surat tawaran menunaikan haji juga akan mula diedarkan kepada bakal jemaah bermula tengah hari.
“Insya-Allah, esok Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Armada akan umumkan kos haji bagi 2025. Selepas pukul 12 tengah hari esok surat tawaran haji akan dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Misi Al Falah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain menyentuh tentang misi tersebut, kata beliau, sebanyak RM829,232 berupa tunai berjumlah RM572,000 dan barangan berjumlah RM257,232 disalurkan kepada mereka yang terjejas.
“Sumbangan tunai diberikan kepada institusi agama Islam dan pendidikan di lokasi yang terlibat dalam misi ini melibatkan dua masjid berjumlah RM40,000, 13 pondok berjumlah RM80,000, sebuah Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM200,000 dan sebuah Maahad Tahfiz berjumlah RM50,000.
“Selain itu, bantuan tunai turut diberikan kepada penduduk setempat yang terjejas berjumlah RM202,000. Kita juga sedang mengumpulkan maklumat berhubung keseluruhan institusi agama yang terjejas dalam banjir ini dari seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE