SHAH ALAM – Wujud perbincangan awal berhubung dakwaan gerakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mengesahkan perkara itu, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti berkenaan mengamalkan dasar terbuka kepada mana-mana pemimpin, namun perkara tersebut masih dalam proses perbincangan.
“Keadilan (PKR) memang terbuka. Ada pemimpin kita pernah jadi Setiausaha Agung Amanah, ada pemimpin DAP jadi calon kita. Kita selama ini membuka ruang tetapi selalunya berunding dengan baik.
“Jadi, Tengku Zafrul pun dalam keadaan sama, kita tidak pernah menafikan dan budayakan tidak pernah mengajak orang. Kita sedia berbincang kerana parti ini terbuka, orang bekas UMNO pun ada dalam Keadilan,” katanya ketika ditemui pada Kongres Nasional Khas PKR 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kata Anwar, pihaknya mengutamakan rundingan antara kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menjaga keharmoniannya. – KOSMO! ONLINE