HANOI – Seorang wanita di Vietnam dikenakan denda sebanyak 7.5 juta dong (RM1,300) selepas mengaibkan suaminya sehingga menjejaskan kehormatan dan maruah lelaki itu, lapor laman berita Tuoi Tre News.
Isteri tersebut dikenali sebagai TTMH, 50, dan menetap di Bandar Dong Hoi yang merupakan ibu kota wilayah Quang Binh.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Dong Hoi, Hoang Thi Thanh Nhung mengesahkan bahawa dia telah menandatangani keputusan untuk mengenakan denda pentadbiran ke atas wanita tersebut kerana menghina suaminya.
Denda itu adalah berdasarkan dekri pemerintah mengenai peraturan pentadbiran terhadap pelanggaran yang berkaitan dengan keselamatan, kesejahteraan sosial dan keganasan rumah tangga
Sementara itu, suami wanita berkenaan turut dikenakan denda sebanyak 15 juta dong (RM2,600) kerana menyerang dan tidak menghormati TTMH pada hari yang sama.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan bentuk penghinaan yang dilakukan oleh kedua-dua mereka. – AGENSI