SEBERANG PERAI – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi gesaannya terhadap pelakon Rozita Che Wan,51, atau lebih dikenali sebagai Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy,28 agar hadir membincangkan mengenai pembayaran hutang hampir RM1 juta.
Beliau berkata, prosedur pemfailan kebankrapan akan diteruskan susulan kegagalan Che Ta melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun.
“Ini bukan tindakan mahkamah kali pertama, ini sudah kali kedua dan sekarang ini yang paling penting datanglah kepada Mara dan bincang.
“Paling penting juga, bayar balik pinjaman yang dibuat sebab ia sudah berlarutan sejak tahun 2017,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang 2024 di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Difahamkan, selebriti itu masih belum tampil bertemu pihak MARA untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd. -KOSMO! ONLINE