LONDON – Chelsea memiliki masa lebih kurang dua hari sahaja untuk membuat persiapan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford yang akan berlangsung di Stamford Bridge awal pagi esok.
Perlawanan itu boleh dianggap cukup penting buat The Blues dalam usaha terus memberi tekanan terhadap pendahulu liga, Liverpool selain menamatkan kemarau kemenangan ke atas Brentford dalam lima pertemuan terakhir.
Meskipun baru sahaja beraksi dalam Liga Konferens Europa kelmarin, namun Chelsea dijangka tidak berdepan masalah memandangkan hampir kesemua pemain utamanya direhatkan ketika menewaskan Astana 3-1.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca tidak menolak kemungkinan ada beberapa pemain yang dibawa ke Astana, Kazakhstan akan berada dalam skuad utama pada perlawanan menentang Brentford nanti.
“Kita semua tidak tahu apa yang akan berlaku. Pertama sekali, semua pemain akan menjalani latihan, jadi kami perlu buat keputusan siapakah yang bakal membarisi kesebelasan utama bertemu Brentford.
“Bagaimanapun, agak tidak logik jika kami tiba di London pada hari Jumaat dan pemain-pemain itu akan beraksi lagi dua hari kemudian tetapi mereka masih perlu turun menjalani latihan,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap, Noni Madueke dijangka kembali berada dalam kesebelasan utama memandangkan Pedro Neto perlu menjalani penggantungan perlawanan selain Mykhailo Mudryk yang belum cergas sepenuhnya. – AGENSI