KOTA TINGGI – Kerajaan akan mengekalkan elaun RM8 sehari yang bakal diberikan kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula Januari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenaikan elaun tersebut tidak wajar dibangkitkan ketika ini kerana program berkenaan belum pun bermula.
“Setakat hari ini kita kekal (kadar elaun) sebab kita belum lagi pun tetapi nak bercakap berkenaan kenaikan elaun,” katanya ketika merasmikan Program Kampung Angkat Madani di Felda Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi di sini hari ini.
Terdahulu, pada Khamis lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Keselamatan menyentuh mengenai elaun RM8 sehari yang bakal diberikan kepada peserta sepanjang program PLKN 3.0, jawatankuasa berkenaan menganggap jumlah berkenaan sebagai tidak mencukupi.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi yakin insiden buli dan provokasi antara peserta PLKN 3.0 akan dapat mampu dielakkan.
“PLKN 3.0 akan dilaksankan dalam tempoh masa 45 hari sahaja dan berasaskan kepada itu juga dibuat dalam kem tentera. Berasaskan kepada soal itu kita percaya soal itu (buli dan provokasi) akan dapat ditangani,” katanya.-KOSMO! ONLINE