KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan akan membantu menguruskan pengebumian jenazah seorang lelaki seberat 420 kilogram (kg) di rumahnya di Pasir Hor, malam ini.
Arwah Sheikh Mohd. Ali Omar, 44, yang merupakan seorang peniaga buah-buahan meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari akibat lelah atau asma selepas beberapa tersekat di dalam bilik air di rumahnya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd. Wildan Azhari berkata, pihaknya akan membantu mengangkat jenazah lelaki itu dari rumahnya di Kampung Pasir Hor, ke Tanah Perkuburan Islam, Kampung Jaya, di sini yang dianggarkan sejauh satu kilometer.
Menurutnya, pihak bomba akan membawa lelaki itu malam ini selepas selesai urusan memandikan jenazah tersebut dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Besut, Terengganu.
“Troli yang diubah suai akan digunakan untuk mengangkat jenazah. Selepas itu, sebuah lori lima tan milik JBPM akan digunakan untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan.
“Selepas solat jenazah pada malam ini, kita akan terus membantu membawa keluar jenazah dari rumahnya menggunakan peralatan yang sudah disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga arwah di Kampung Pasir Hor, di sini hari ini.
Sementara itu, kakak arwah Hanoriah Hassan, 60, berkata, adiknya yang masih bujang itu sebelum ini menghidap gout, namun disahkan meninggal dunia akibat lelah.
Menurutnya, Sheikh Mohd. dikatakan tersekat di dalam bilik air beberapa hari lalu, namun sempat diselamatkan oleh rakan yang datang ke rumah untuk membantu membawanya keluar selepas dihubungi arwah.
“Arwah dapat keluar dari bilik air rumahnya dengan bantuan pihak bomba pagi tadi, namun menghembuskan nafas akibat lelah kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Saya pada awalnya buntu untuk mengurus dan mengebumikan jenazah arwah. Nasib baik pihak bomba tampil untuk membantu kami sekeluarga untuk menguruskan jenazah sehingga ke tanah perkuburan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE