LUMUT – Seorang bayi dibuang di dalam semak di belakang sebuah surau di Kampung Permatang dekat sini sebelum ditemui salah seorang ahli jawatankuasa surau tersebut petang semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman, memberitahu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan telefon daripada orang ramai mengenai penemuan bayi itu pada pukul 6.54 petang semalam.
“Siasatan polis mendapati bayi lelaki tersebut ditinggalkan di dalam semak dan berbalut dengan kain sebelum ditemui salah seorang ahli jawatankuasa surau tersebut yang mahu membersihkan persekitaran kawasan itu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, bayi berkenaan telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE