PUTRAJAYA – Aik Huat Group melalui cabang perniagaan terasnya iaitu Aik Huat Hardware berkeyakinan untuk terus maju berkembang pada tahun depan.
Ini kerana pengoperasian dan imejnya yang semakin kukuh dalam industri pembekalan bahan binaan dan pelbagai produk seperti alat kuasa, cat, alat taman, serta aksesori bilik mandi dan dapur sehingga membolehkan syarikat terus menguasai pasaran sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Goh Seng Cha berkata, antara inisiatif terbaharunya adalah dengan meluaskan penguasaan pasaran dengan cadangan membuka dua lagi cawangan baharu di Nilai, Negeri Sembilan dan juga di Rawang, Selangor.
Menurut beliau, kawasan berkenaan dipilih kerana perkembangan pesatnya dalam sektor perumahan dan perniagaan.
“Saya berharap untuk membawa Aik Huat ke tahap yang lebih tinggi, termasuk menjadi syarikat yang tersenarai di IPO. Kejayaan kami tidak hanya memberi manfaat kepada syarikat tetapi juga kepada pekerja, pelanggan, dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun 20 tahun Aik Huat Group dengan pelancaran logo terbaharu syarikat yang melambangkan era baharu dalam pembangunan kumpulan tersebut di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.
Logo baharu syarikat itu mencerminkan semangat inovasi dan komitmen syarikat terhadap kualiti dan perkhidmatan cemerlang.
Selain itu, Aik Huat turut menyumbang RM20,000 kepada Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia (YMLM) untuk menyokong rumah anak yatim dan warga emas serta diadakan acara lelongan seni lukis yang berjaya mengumpulkan dana tambahan untuk badan kebajikan.
“Saya percaya apabila kita dikurniakan rezeki, menjadi tanggungjawab kita untuk berkongsi dengan orang lain. Motivasi saya bukan hanya untuk kekayaan peribadi tetapi juga untuk membantu masyarakat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE