fbpx

Ada masalah jumpa pemimpin bukan media sosial – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

SEBERANG PERAI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menasihati semua barisan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak bercakap secara terbuka dan menggunakan media sosial sebagai tempat meluahkan segala permasalahan berbangkit.

Beliau yang merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, semua parti komponen seharusnya menitikberatkan pengukuhan supaya dapat mewujudkan penyatuan dalam kalangan semua ahli dan kepimpinannya.

“Tahun depan adalah tahun pengukuhan dan kita perlu bekerja keras untuk mengukuhkan kerajaan. Pengukuhan ini penting kerana kita tidak mahu masalah kecil, masalah pendapat daripada individu-individu yang bersuara di media sosial yang bertulis dan bercakap di pentas-pentas menuding jari kepada rakan-rakan.

“Cukup-cukuplah, tahun pengukuhan saya ingin memberitahu diri saya dan rakan-rakan janganlah bercakap secara terbuka, kita ingatkan juga kawan-kawan yang lain dalam parti lain jika ada masalah jumpa dengan pemimpin, jumpa kami.

“Kami pun akan jumpa dengan mereka jika ada masalah. Itu cara kita memujuk dan memperkukuhkan perpaduan. Bukannya menggunakan media untuk bercakap perkara-perkara yang kita boleh selesaikan secara dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN Pulau Pinang 2024 di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kesepakatan penting dalam usaha mengembalikan semula BN sebagai parti dominan di Pulau Pinang dan di negara ini.

“Kita telah ditentukan bukan lagi dominan. Sekarang kita menurutkan rakan kongsi dengan parti-parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan dan ini tidak bermakna kita akan berundur atau kita sekadar melukut di tepi gantang.

“Kita mesti mencari jalan supaya masalah-masalah dalaman diselesaikan sepenuhnya dan kita mesti berada di dalam organisasi yang mantap sama ada kita di dalam Barisan Nasional ataupun di dalam kerajaan.

“Jangan kita cucuk daripada belakang, berpakat dengan musuh kita di belakang yang akhirnya masyarakat takut. Kita boleh memaafkan tapi kita tidak akan melupakan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI