LONDON – Pelumba meningkat naik Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Pedro Acosta bimbang terhadap situasi kewangan KTM yang didakwa berada dalam keadaan kritikal disebabkan bebanan hutang.
Acosta yang membuat debut MotoGP bersama pasukan satelit KTM, Tech3 tahun ini dinaikkan pangkat untuk menggantikan tempat Jack Miller bersama pasukan utama KTM.
Namun, laporan terkini menunjukkan pengeluar dari Austria tersebut berdepan masalah kewangan mencecah €3 bilion (RM bilion) hingga memaksa mereka menghentikan pembangunan motosikal bagi melindungi projek MotoGP.
Pengurus Acosta, Albert Valera dalam satu sesi audio siar baru-baru ini mendedahkan bahawa isu kewangan tersebut tidak pernah dibincangkan sewaktu mereka menandatangani kontrak pada Mei lalu.
“Tiada siapa memberi amaran mengenai perkara ini. Ketika kontrak ditandatangani, kami diberitahu KTM adalah syarikat gergasi dengan kekuatan kewangan yang kukuh.
“Jadi dengan berita yang sedang tular ini benar-benar mengejutkan kami,” katanya.
Menurut Valera, walaupun KTM memberi jaminan mereka akan terus bertanding dalam MotoGP, namun Acosta masih ragu-ragu tentang kemampuan mereka untuk menyediakan jentera kompetitif.
“Kami menandatangani kontrak berdasarkan projek yang menjanjikan kemenangan. Namun, enam bulan kemudian, segala-galanya berubah.
“Kami tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Untuk mengatakan kami tidak bimbang adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
“Buat masa ini, KTM tidak melanggar apa-apa perjanjian. Namun, kepercayaan kami terhadap janji mereka kini goyah,” kata Valera. – AGENSI