fbpx

3 maut, 48 cedera kena baling bom di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand menangkap dua lelaki susulan kejadian letupan bom di sebuah festival dekat sempadan dengan Myanmar yang membunuh tiga orang, manakala puluhan lagi mangsa cedera, kata polis malam tadi.

Sebutir bom buatan sendiri meletup di lantai tarian festival berkenaan di daerah Umphang dalam wilayah Tak, utara Thailand malam kelmarin, demikian menurut polis tempatan.

“Dua orang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital,” kata polis.

Letupan itu turut mencederakan 48 orang. Antara 8,000 hingga 9,000 orang menghadiri festival tersebut.

Menurut polis, mereka telah menangkap seorang remaja tempatan dan seorang lelaki yang menganggotai kumpulan pemisah Kesatuan Nasional Karen(KNU).

KNU memerangi tentera Myanmar selama beberapa dekad kerana menuntut pemerintahan autonomi di negeri Karen.

Ketua polis Tak, Mejar Jeneral (polis) Samrit Ekamol berkata, suspek Myanmar itu membaling bom selepas terserempak dengan anggota gengster lawan.

Bagaimanapun, seorang pegawai KNU yang dihubungi agensi berita AFP menafikan penglibatan kumpulan pemisah tersebut dan memberitahu, KNU tiada memiliki anggota di kawasan itu.

KNU turut mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam letupan itu.

Ucapan takziah itu dinyatakan dalam satu kenyataan berasingan di laman Facebook mereka.

“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan Thai untuk membawa keadilan. Kami menolak perbuatan keganasan seperti ini dan mengutuknya,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand,  Paetongtarn Shinawatra mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka serta menggesa agensi-agensi keselamatan melakukan siasatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI