KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sensasi apabila melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Olimpik Hangzhou sebentar tadi, pasangan No.8 dunia itu mudah mengetepikan cabaran rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dengan keputusan straight set 21-15, 21-12.
Keputusan itu menyaksikan mereka mengulangi pencapaian pada saingan peringkat kumpulan B sebelum ini di mana Tang Jie-Ee Wei turut melakar kemenangan ke atas pasangan suami isteri berkenaan.
Menjelang aksi final esok, Tang Jie-Ee Wei akan menantikan pemenang perlawanan antara dua beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dan juara Sukan Olimpik Paris 2024, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.
Sebagai rekod, ini adalah penampilan kedua Tang Jie-Ee Wei pada kejohanan penutup kalendar itu selepas edisi tahun lalu yang menyaksikan mereka sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan. – KOSMO! ONLINE