fbpx

Srikandi silat enggan hilang gelaran dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAH yakin mampu berikan aksi terbaik pada meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

MESKIPUN masih dibayangi kecederaan yang belum pulih sepenuhnya, namun pesilat negara, Nor Farah Mazlan tetap bertekad mempertahankan gelarannya pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu minggu depan.

Farah yang bakal bertanding dalam acara Tanding 50 kilogram (kg) mengakui mempertahankan kejuaraan bukan mudah, apatah lagi kecederaan dialaminya sejak beberapa bulan lalu masih dalam proses pemulihan.

“Saya belum pulih sepenuhnya, masih rasa sakit tetapi saya tidak pernah berhenti mendapat rawatan fisioterapi dan rehabilitasi di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN).

“Dengan sokongan pasukan, jurulatih dan keluarga, saya yakin mampu kembali memberi aksi terbaik di pentas dunia,” katanya.

Srikandi kelahiran Kota Belud, Sabah itu enggan menjadikan kecederaan sebagai alasan untuk mengalah kerana semangat juang yang ditanam sejak kecil menjadi pendorong utamanya.

“Saya sudah bersilat sejak kecil dan tanggungjawab sebagai pesilat negara membuatkan saya tidak mahu menyerah. Apa pun terjadi, saya akan cuba sedaya upaya membawa pulang pingat emas,” jelas Farah.

Mengulas mengenai cabaran bakal dihadapi, Farah mengakui lawan dari Vietnam, Indonesia dan Singapura menjadi pesaing yang tidak boleh dipandang ringan selepas mempamerkan aksi berbisa dalam pertarungan sebelum ini.

“Mereka sangat kuat dari segi fizikal dan teknikal tetapi saya fokus pada diri sendiri untuk berada di tahap terbaik.

“Tekanan memang ada tetapi ia mengingatkan saya untuk terus mengekalkan tahap kecergasan dan disiplin. Saya akan jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk beraksi dengan lebih baik,” ujar atlet berusia 26 tahun itu.

Farah pernah meraih pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 meskipun berdepan kecederaan patah tiga jari selain turut merangkul emas Kelas A (45-50kg) Kejohanan Silat Terbuka Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI