PETALING JAYA – Gara-gara memuat naik video ibunya yang juga usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida di Mekah baru-baru ini, Cik B mendedahkan menerima banyak respons berkaitan bentuk bibir Vida dalam ruangan komen.
Menurut Cik B atau nama penuhnya Nur Edlyn Zamileen Muhammad Amin, 19, dia tidak menyangka video tersebut mengundang komen negatif sehingga ada yang menghina wajah ibunya namun memilih untuk tidak mengambil hati.
“Ramai yang cakap tentang bibir mama tebal, kena sengat tebuan dan macam-macam saya baca.
“Saya cuma nak pesan satu benda sahaja, setiap manusia mempunyai banyak kelebihan dan kekurangan,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Cik B juga meingatkan bahawa setiap manusia tidak sepatutnya melemparkan penilaian negatif hanya berdasarkan luaran seseorang semata-mata.
“Kita sebagai manusia tidak perlu menilai manusia daripada rupa, harta dan sebagainya. Saya sendiri tak pernah ‘body shaming’ orang sebab sedar dengan diri sendiri.
“Sepatutnya kita sesama bangsa dan agama mendoakan yang baik-baik. Saya tidak marah, cuma nasihat sahaja ya semua. Sama-sama kita istiqamah,” jelasnya.
Dalam video sama, dia turut memohon maaf sekiranya terdapat perkongsiannya dalam media sosial sebelum ini pernah menggores hati mana-mana pihak tanpa sengaja.
“Tentang perkongsian saya dan mama dalam media sosial, sekrianya ada yang menyakitkan atau terasa hati, saya mewakili mama untuk mohon maaf.
“Apa pun, saya doakan semoga anda semua tetap gembira dan murah rezeki selalu,” katanya lagi.
Difahamkan, komen negatif berkaitan bibir Vida tercetus selepas Cik B meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat menemani ibunya menunaikan umrah di Tanah Suci baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE