ALOR SETAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa mempertimbang untuk membatalkan tanaman padi musim 2/2024 atau darurat kepada petani yang terjejas banjir bulan lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, gesaan itu dibuat berikutan petani mengalami kerugian selain kehabisan modal pusingan untuk meneruskan musim penanaman padi selepas terkesan bah.
“Petani juga perlu menerima bayaran pampasan atau wang ihsan ‘batal musim’ minimum RM1,200 bagi setiap relung sawah padi.
“Dalam pelbagai aspek tanaman padi terjejas teruk termasuk isu tiada lagi padi semaian mahupun tanggungan atas kos benih padi, kos jentera membajak termasuk upah menanam atau menabur. Malah tiada lagi subsidi baja kerana petani hanya boleh mendapatkannya sekali semusim,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, kejadian itu mengakibatkan kelewatan musim penghasilan padi sekali gus akan menimbulkan masalah rantaian ke atas kawasan sawah padi yang tidak terjejas akibat banjir.
“Hujan yang berlarutan ditambah masalah perparitan dan sungai yang tidak diselenggara sehingga menyebabkan air menjadi ‘sebak’ (bertakung). Ini menjadikan keadaan air sawah padi tidak surut-surut,” katanya.
Pihaknya berharap akan mendapat maklum balas positif daripada kementerian terlibat ekoran pelbagai rungutan yang diterima daripada petani terlibat di kawasan Kota Siputeh. -KOSMO! ONLINE.