BANGKOK – Seramai 12 individu termasuk warga asing ditahan dalam operasi khas bagi membanteras aktiviti mengemis yang semakin berleluasa di Thailand, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Polis Lumpini dan beberapa pegawai daripada jabatan lain bergegas ke Jalan Sukhumvit, Bangkok selepas menerima laporan berhubung pengemis yang berkeliaran di taman awam tersebut pada Khamis lalu.
“Semasa mengadakan serbuan, kami telah menahan lapan warga tempatan, dua rakyat Kemboja dan masing-masing seorang warganegara Laos serta Myanmar kerana mengemis di jalanan.
“Empat pendatang asing itu turut berdepan kesalahan lain seperti memasuki Thailand tanpa dokumen sah,” kata seorang jurucakap polis.
Menurutnya, pihak polis turut menemui wang tunai berjumlah lebih 300,000 baht (RM39,126) dan 1 juta baht (RM130,420) lagi dalam akaun simpanan milik seorang suspek yang ditahan.
“Mereka diserahkan ke Balai Polis Lumpini untuk tindakan lanjut,” tambah polis. – AGENSI