fbpx

Ibu bapa bayi ‘ditahan’ peti sejuk diminta ke Lembaga Zakat Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sabirin ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Pasangan suami isteri yang tular selepas mendakwa bayi mereka ‘ditahan’ dalam peti mayat disarankan tampil ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi proses bantuan kategori asnaf gharimin atau orang berhutang.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, pihaknya masih menjejaki pasangan tersebut termasuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang mengeluarkan kisah mereka.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini LZS belum mendapat sebarang maklum balas mengenainya.

“Pasukan kami cuba mendapatkan maklumat daripada hospital. Kalau pasangan itu tampil ia akan mempercepatkan proses dan akan dibantu mengikut kategori yang mereka layak.

“Kalau pasangan itu tidak termasuk kategori fakir dan miskin, kami akan bantu kategori asnaf gharimin iaitu golongan yang berhutang.

“Selain itu, kita akan melihat sama ada terdapat tabung kebajikan di hospital tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di sini, hari ini.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui LZS tidak menerima sebarang aduan daripada pasangan suami isteri tersebut.

Justeru, Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menyatakan pihaknya sedang mengesan pasangan itu yang dikatakan tidak mampu membayar bil hospital.

Mengulas lanjut, Mohd. Sabirin berkata, LZS mempunyai peruntukan atau dana untuk hospital kerajaan dan beberapa hospital separa swasta setiap tahun mengikut kategori dan kelayakan.

“Jenis peruntukan yang diberikan mengikut keperluan pihak hospital, kalau keperluan itu lebih, kita akan beri lebih. Namun, ia berbeza bagi setiap individu yang mendapatkan khidmat dari sesebuah hospital,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI